SHAH ALAM – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan terus memperkukuhkan sektor agrikomoditi lada berikutan ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi luar bandar.
MPIC dalam satu kenyataan berkata, ia juga menunjukkan perkembangan positif termasuk trend kenaikan harga lada dunia sejak tahun lalu.
“Sektor agrikomoditi lada adalah subsektor agrikomoditi yang berpotensi besar. Justeru, ia harus terus berkembang bagi memberi manfaat khususnya kepada pekebun kecil meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Pada Rabu, Menteri MPIC, Datuk Zuraida Kamaruddin mengadakan lawatan kerja sehari di Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) bertujuan untuk memastikan dasar dan hala tuju subsektor berkenaan terus berada pada landasannya iaitu sebagai penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi luar bandar.
Ia turut membabitkan seramai 36,689 pekebun kecil dengan 7,718 hektar keluasan tanaman di seluruh negara terutamanya di Sarawak.
Dalam kenyataan sama, MPIC berkata, pihak MPB bakal mewujudkan aktiviti kawal selia pasaran bagi memastikan perniagaan lada dijalankan mengikut undang-undang di samping menjamin tahap kualiti produk yang dieksport mematuhi gred yang dipersetujui.
“Ini juga penting bagi memelihara prestij dan reputasi lada Malaysia agar lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa,” katanya.
Selain itu, MPIC berkata, penubuhan anak syarikat Saraspice Sdn Bhd yang bakal beroperasi sepenuhnya mulai Oktober depan turut memperkukuhkan lagi kedudukan sektor industri lada di pelbagai peringkat.
“Ini termasuk menjadi pembekal unggul lada Sarawak yang berkualiti tinggi dan lestari kepada pelanggan di seluruh dunia serta lebih berdaya saing dalam memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.