Lada Sarawak diterima di pasaran global, kualitinya diiktiraf

KUCHING: Lada Sarawak bukan sahaja mendapat nama di pasaran global, malahan diiktiraf dari segi kualitinya oleh negara luar.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu dibuktikan semasa lawatan beliau ke luar negara baru-baru ini.

 

“Lada Sarawak yang sangat terkenal, selain lada negara kita, tinggi dari segi kualiti dan aromanya.

 

“Malah, ia diiktiraf semasa lawatan saya dalam jelajah global antarabangsa yang mana kami membawa dan menunjukkan sampel lada dan mereka mengiktirafnya sebagai lada berkualiti,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan penjenamaan baharu Saraspice iaitu ‘Saraspice: Sarawak’s Pride’ yang dihadiri Timbalan Menterinya Datuk Willie Mongin dan Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail di sini, hari ini.

 

Menurut Zuraida, Lada Sarawak mempunyai potensi yang amat besar di pasaran dunia dan produk itu mampunyai kekuatan tersendiri untuk terus diperluas.

 

Justeru katanya, syarikat Saraspice Sdn Bhd iaitu anak syarikat Lembaga Lada Malaysia (MPB) harus menjadi plaform kepada kada Sarawak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

 

Untuk tujuan itu katanya, kementerian menyasarkan set Lada Sarawak diperkembang penyediaannya untuk bahagian makanan dan minuman (F&B) di hotel.

 

“Sebaik sahaja Saraspice kukuh dan bekerjasama dengan MPB, mereka harus memastikan Lada Sarawak turut disediakan di meja makan di hotel-hotel di negara ini.

 

“Jika kita mampu melakukan ini di negara kita terlebih dahulu, saya berasakan kita mampu menjual produk lada terkenal kita, iaitu Lada Sarawak kepada luar.

 

“Ia sekali gus akan menjadi pemangkin kepada pasaran tempatan khasnya pekebun kecil,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, lada merupakan komoditi yang mempunyai nilai potensi tinggi di mana Malaysia mencatatkan eksport tahunan lada bernilai RM650 juta, iaitu kira-kira 30,000 tan metrik serbuk lada.

 

Beliau berkata, satu tan serbuk lada kualiti premium boleh mencecah sehingga RM75,000.

 

Sementara itu, Zuraida berkata, MPB akan mengadakan sesi keterlibatan bersama pekebun kecil lada untuk meneliti pengenalan ladang mini bagi membantu meningkatkan produktiviti dalam negara.

 

Menurut beliau, kebanyakan pekebun lada adalah pekebun kecil-kecilan dan ladang mini sepatutnya mempunyai kawasan ladang seluas 1,000 ekar.

 

“Kami mahu mengklasifikasikan kawasan ladang seluas 1,000 ekar sebagai ladang mini. 

 

“Pada masa ini, semua pekebun kecil beroperasi secara individu. Mereka tidak mempunyai kapasiti untuk mengembangkan ladang dan sumber kewangan mereka terhad,” katanya.

 

Oleh yang demikian ujarnya, sukar bagi pekebun kecil untuk melabur bagi penanaman semula dan penggunaan teknologi. 

 

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/25/lada-sarawak-diterima-di-pasaran-global-kualitinya-diiktiraf

saraspice_admin
No Comments

Post a Comment

Comment
Name
Email
Website

Translate »
error: Content is protected !!