Dron jaga ladang lada

KUCHING: Teknologi memainkan peranan penting di dalam mengautomasikan sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti produk komoditi Sarawak bermula dari penanaman hingga ke pasaran.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, salah satu daripada komoditi utama Sarawak yang terkenal dengan kualitinya adalah lada dan terus dibangunkan oleh Lembaga Lada Malaysia (LLM) supaya dapat meningkatkan daya saingnya.

 

“LLM bersama ibu pejabat dekat sini juga terus memanfaatkan teknologi dalam memastikan pengeluaran lada yang mampan melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan termasuk penyelesaian pertanian moden bersepadu dari hulu ke hiliran.

 

“Sebagai contoh, teknologi dron sedang digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti penanaman lada melalui teknologi pengimejan hiperspektral,” katanya.

 

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Persidangan Nasional Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) di Hotel Imperial Kuching, kelmarin.

 

Sehubungan itu, tambahnya perkara tersebut juga dapat dilihat daripada portal Pengurusan Ladang Lada dan aplikasi Mudah Alih melalui LadaGo.

 

“Ia juga merupakan platform lain yang membolehkan industri tersebut mengenal pasti penyakit lada dan menawarkan pilihan rawatan kepada petani untuk menguruskan tanaman lada mereka dengan lebih baik,” ujarnya.

 

Katanya, memandangkan Sarawak berhasrat untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030, agensi kerajaan, pemain industri dan TAM perlu bekerjasama serta memanfaatkan kepakaran, kemahiran termasuk teknologi masing-masing.

 

“Perkara tersebut terutama sekali melibatkan kepintaran buatan, data raya, robotik dan automasi untuk memacu produktiviti serta pertumbuhan terutamanya di dalam sektor pertanian.

 

“Pada masa sama, saya juga ingin menggesa TAM untuk meneroka peluang baharu dengan agensi berkaitan bagi menerajui pembangunan taman agro dan program pertanian pintar di Sarawak bagi mencapai aspirasi negeri ini iaitu Pelan Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS 2030),” jelasnya.

 

Persidangan dengan tema Teknologi Tanpa Sempadan (TWB) 2023 itu juga dianjurkan oleh TAM dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne serta berkolaborasi LLM dan Jabatan Pertanian Sarawak.

 

Objektif penganjurannya juga persidangan ini untuk mempertingkat dan meneroka jenis teknologi dalam pelbagai bidang industri dan akan mengesahkan dan melengkapi antara satu sama lain dalam industri pendigitalan dan rangkaian dengan semua bidang teknologi, penganjur TWB 2023 berbesar hati menawarkan peluang untuk menyokong satu atau lebih aspek persidangan itu.

 

Antara empat bidang yang terlibat adalah Bioteknologi (BT); Teknologi Asas Tani (AF); Kesihatan dan Teknologi Perubatan (HM); serta Teknologi Bangunan dan Pembinaan (SM).

 

Hadir sama Presiden TAM Tung Chee Kuan; Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi TAM Cawangan Sarawak Dr. Ting Sie Chun; serta wakil yang lain.

saraspice_admin
No Comments

Post a Comment

Comment
Name
Email
Website

Translate »
error: Content is protected !!